Town Planning

Town Planning

Tuesday 10 December 2013

PUNCA TRAGEDI TANAH RUNTUH BUKIT ANTARABANGSA

TANAH RUNTUH DI BUKIT ANTARABANGSA


PUNCA SEBENAR TANAH RUNTUH

SEBELUM KAJIAN DIBUAT :

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa nyawa dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah di kawasan berkenaan.

Syabas: 68 kawasan tadahan air risiko akibatkan tanah runtuh KUALA LUMPUR: Sebanyak 68 kawasan tadahan air di sekitar Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dikategorikan berada pada tahap kritikal yang berkemungkinan boleh menyebabkan tanah runtuh pada bila-bila masa. Tragedi tanah runtuh Hulu Klang berulang KAWASAN Hulu Klang, tempat berlakunya peristiwa terbaru kejadian tanah runtuh iaitu di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa awal pagi ini, merupakan kawasan yang sentiasa berdepan dengan kejadian tersebut. PM: Henti projek pembangunan tanah cerun. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua kerajaan negeri menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.


SHAH ALAM: Kebocoran paip air dari saluran paip yang aktif di sepanjang jajaran rumah terbengkalai di kenal pasti punca utama tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada jam 3.30 pagi, 6 Disember 2008 yang mengakibatkan lima kematian dan 14 banglo musnah.

Jawatankuasa Teknikal Kajian Tanah Runtuh mendapati keadaan itu menyebabkan kandungan air dalam tanah di kawasan kegagalan cerun meningkat dan menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di situ.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika membacakan ringkasan laporan kajian jawatankuasa itu berkata ia adalah antara lima faktor penyumbang kejadian selain ikatan tanah yang poros pada cerun tambakan ketika pembangunan.

Katanya, ia juga berpunca daripada kurangnya penyenggaraan serta kerosakan pada sistem perparitan di kawasan kegagalan cerun dan hujan yang kerap sebelum kejadian sekitar Oktober dan November 2008.

Selain itu, katanya, rekahan berterusan menyebabkan rekahan tanah sedia ada bertambah besar dan menimbulkan rekahan baru turut dikenal pasti faktor penyumbang.

"Jawatankuasa ini mengenal pasti tiga siri gelinciran mengakibatkan tanah runtuh pada hari berkenaan yang mana setiap satu hanya berselang tiga hingga lima minit, membabitkan keluasan empat hektar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, ringkasan laporan siasatan kejadian tanah runtuh itu akan didedahkan kepada orang ramai mulai Isnin ini dan mereka boleh mendapatkannya daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kos berpatutan.

Katanya, status klasifikasi dokumen itu diubah dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c, Akta Rahsia Rasmi.

Jawatankuasa teknikal khas yang diketuai Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia, Jabatan Kerja Raya itu dibentuk bagi menyiasat punca kejadian dan mengenal pasti langkah perlu diambil.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Metereologi, Agensi Remote Sensing, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPAJ, Mohd Asbi & Associates dan Enceal Consultans Sdn Bhd.

Abdul Khalid berkata, jawatankuasa itu antara lain mencadangkan supaya pihak berkuasa mengenal pasti lokasi lain yang keadaan fizikalnya sama, membaik pulih sistem perparitan yang rosak dan menaik taraf longkang kecil di keseluruhan kawasan Bukit Antarabangsa.

Katanya, jawatankuasa itu juga mencadangkan supaya dipasang sistem perparitan dalam tanah di kawasan resapan air serta kandungan air dalam tanah yang tinggi, selain memasang alat pengesan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.











SELEPAS KAJIAN DIBUAT :


KEGAGALAN CERUN DI BUKIT ANTARABANGSA, AMPANG, SELANGOR DAN HUBUNGANNYA DENGAN SIFAT FIZIK TANAH


(Slope Failure at Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, and Its Relationship to Physical Soil Properties)

Oleh : Muhammad Barzani Gasim, Sahibin Abd. Rahim, Mohd. Ekhwan Toriman dan Diyana Ishnin

Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan & Sekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia

Abstrak
Kegagalan cerun yang berlaku pada 6 Disember 2008 di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor telah menyebabkan kematian dan kerosakan harta benda yang melibatkan lebih daripada 20 rumah penduduk telah ranap. Hujan lebat yang berlaku beberapa jam sebelum kegagalan cerun, telah meningkatkan ketepuan dan keplastikan tanah. Sebanyak 10 sampel tanah telah diambil secara rawak di cerun-cerun stabil dan gagal untuk menentukan sifat fizikal tanah, kadar penyusupan serta hubungannya dengan corak hujan. Tanah dianalisis berdasarkan sifat fiziknya, lima tahun (2005-2009) data hujan harian dianalisis untuk mendapatkan hubungannya dengan penyusupan air disetiap stesen persampelan. Kadar penyusupan diukur menggunakan infiltrometer “double rings”. Hasil analisis sifat fizik tanah menunjukkan bahawa tekstur tanah didominasi oleh tanah berpasir yang mencatatkan peratusan kandungan pasir yang relatif tinggi. Nilai kadar serakan lempung adalah sederhana stabil sehingga sangat stabil atau berjulat daripada 0.013% sehingga 11.85%, kandungan organik antara 1.38 sehingga 2.74 %. Julat ruang rongga diantara 50.12% sehingga 62.31% dan purata tahap kekonduksian hidraulik diantara tahap 2 sehingga 5 atau agak perlahan sehingga pantas. Peratusan kestabilan agregat tanah berjulat dari 5.12 % sehingga 48.42%, nilai ini menunjukkan kekuatan relatif tekanan mekanik tanah adalah bernilai songsang terhadap peratusan kandungan air. Nilai keplastikan tanah berjulat tinggi sehingga sangat tinggi yang dicirikan dengan koloid yang tidak aktif. Taburan hujan bulanan berjulat daripada 38 mm hingga 427 mm. Kadar penyusupan semasa persampelan bernilai diantara 3.0 cm/jam hingga 7.0 cm/jam tetapi semasa kegagalan cerun dijangkakan berjulat diantara 10.94cm/jam sehingga 915.05cm/jam. Secara keseluruhan ditafsirkan bahawa sifat fizik tanah mempengaruhi kestabilan cerun, struktur tanah berpasir akan meningkatkan tahap keporosan tanah dan selanjutnya meningkatkan kadar penyusupan semasa hujan lebat dan akhirnya mencetuskan berlakunya kegagalan cerun.
Kata kunci: Bukit Antarabangsa, kadar penyusupan air, tanah berpasir, kegagalan cerun


Pendahuluan

Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor merupakan kawasan yang bertopografi berbukit bukau, dengan ketinggian di antara 133 hingga 203 meter di atas paras laut. Mempunyai longitud antara 101°46‟ T hingga 101°47‟ T dan latitud antara 03°10.8‟ U hingga 03°11.3‟ U (Rajah 1). Dicirikan oleh iklim yang panas dan lembab sepanjang tahun dan mempunyai jumlah hujan tahunan sebanyak 2500 sehingga 3000 mm.

Kegagalan cerun atau tepatnya tanah runtuh merupakan satu kejadian geologi yang melibatkan sebahagian besar pergerakan tanah, jatuhan batuan atau cantuman dari keduanya. Kebanyakkan runtuhan tanah bermula di lereng-lereng cerun dan seringkali dicetus oleh air larian permukaan . Runtuhan tanah berlaku mungkin secara berperingkat dan mungkin berlaku dengan pantas tanpa disedari sewaktu hujan lebat serta bergerak bersamanya bahan bumi yang menggelongsor mengikut tarikan graviti .

Menurut , air yang mengalir di permukaan akan sentiasa menyebabkan hakisan. Kadar hakisan semakin tinggi sekiranya tanah di sesuatu kawasan itu terletak di tempat yang tinggi dan curam seperti di lereng-lereng bukit. Pengaliran air yang teramat deras akan menghakis bunga tanah atau lapisan atas. Berkaitan dengan proses hakisan, runtuhan tanah juga akan berlaku di cerun bukit, terutamanya berlaku semasa hujan lebat. Proses kegagalan cerun menjadi satu masalah di kawasan di berbukit-bukau seperti Cameron Highlands, Fraser Hill, Genting Highlands di Pahang dan beberapa kawasan tanah tinggi di Malaysia.

Kebiasaannya kegagalan cerun atau tanah runtuh akan meragut nyawa manusia serta memusnahkan harta benda. Contohnya, beberapa kejadian tanah runtuh besar yang telah berlaku seperti di Highland Tower dan Taman Hillview di Hulu Kelang (Selangor), Gua Tempurung (Perak), Paya Terobong (Pulau Pinang), persimpangan lebuhraya NKVE, Bukit Lanjan serta beberapa kegagalan cerun bersaiz kecil dan sederhana. Fenomena ini seringkali dikaitkan dengan musim tengkujuh, di mana sejumlah curahan hujan yang tinggi bertindak sebagai pencetus kepada kegagalan cerun. Keadaan iklim tropika yang panas dan lembab ini juga turut menyebabkan proses luluhawa secara relatifnya adalah lebih tinggi berbanding kawasan beriklim lain

 Namun begitu, faktor-faktor lain seperti keadaan geologi, geomorfologi & struktur geologi akan berperanan dalam mempengaruhi corak pelemahan batuan . Kawasan kajian yang terletak di Bukit Antarabangsa merupakan kawasan perumahan di lereng bukit di Ulu Klang, Selangor, Malaysia. Bukit Antarabangsa, Ampang adalah sebuah kawasan penempatan awam yang berprofil pertengahan ke tinggi. Namun begitu, penempatan yang dimajukan sebagai perumahan ini mempunyai keadaan muka bumi yang bercerun dan sama sekali tidak selamat dan tidak stabil untuk diduduki. Kebanyakan projek pembangunan di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa terletak di kawasan cerun bukit.






Peristiwa tanah runtuh yang berlaku pada 6 Disember 2008 di Bukit Antarabangsa telah meranapkan 20 buah rumah dan mengorbankan sekurangnya lima orang penduduk dan lebih daripada 2,000 orang pula terpaksa dipindahkan ke tempat yang selamat. Kekuatan cerun yang tidak mampu mengawal dan menyokong kekuatan tapak bagi perumahan tersebut akibat. hujan yang berterusan, telah menyebabkan kawasan menjadi tidak stabil dan aliran air berlebihan ini telah menyusup ke bawah permukaan dan menjadikan bahan bumi di bawah permukaan semakin lemah.

Ditambah pula, dengan keadaan cerun yang tidak stabil menyebabkan sejumlah bahan bumi bersama beberapa rumah penduduk yang terlibat runtuh di sepanjang cerun dan dilonggokkan ke beberapa ratus meter dari tempatnya yang asal. Menurut laporan , 13 Ogos 2008, menunjukkan bahawa kebanyakkan cerun di kawasan Bukit Antarabangsa berada pada kelas III, iaitu cerun yang berisiko tinggi kerana mempunyai kecerunan 26° - 35°. Objektif daripada kajian ini ialah: 1) Untuk menentukan sifat fizik tanah di kawasan kajian; 2) Untuk menentukan hubungan diantara curahujan dengan kadar penyusupan dan 3) Untuk mentafsirkan perkaitan diantara sifat fizik tanah, kadar penyusupan dan berlakunya tanah runtuh.



                Rajah 1: Lokasi kawasan kajian dan kedudukan stesen persampelan



Kaedah Kajian

Sebanyak sepuluh pensampelan tanah telah dikutip dan pengukuran kadar penyusupan telah dilakukan selama dua kali kerja lapangan. Sampel tanah diambil 10 cm di bawah permukaan dengan menggunakan pengorek auger tangan. Di makmal sampel tanah di analisis untuk mendapatkan saiz butiran, serakan lempung, kandungan bahan organik, kekonduksian hidraulik, kestabilan agregat, keplastikan tanah dan sebagainya.

Pengukuran kadar penyusupan dilakukan dengan menggunakan alat „infiltrometer double rings‟. Pengukuran dan pensampelan dilakukan di dua kawasan berbeza; kawasan yang mewakili cerun yang stabil dan yang mewakili kawasan cerun yang runtuh. Sampel tanah tersebut kemudiannya disimpan dalam beg plastik, dilabelkan, diikat dan dimasukkan dalam bekas yang kedap udara. Peta geologi bagi kawasan kajian diperoleh dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, untuk mendapatkan latarbelakang kepelbagaian batuan dan ciri geologi kawasan.

Data hujan harian bagi tempoh tahun 2005 sehingga 2009 yang diperoleh dari Jabatan Kajicuaca Malaysia digunakan untuk membandingkan jumlah hujan semasa tanah runtuh dengan hari-hari yang lain. Nilai penyusupan semasa tanah runtuh ditafsirkan berdasarkan kiraan 10 hari jumlah hujan dibahagikan dengan 10 hari jumlah hujan semasa persampelan. Nilai ini kemudiannya didarabkan dengan nilai penyusupan semasa persampelan di lapangan yang menggunakan alat gegelang infiltrometer “Double Ring”.

Hubungan di atas dapat disimpulkan berdasarkan formula di bawah:

Nilai penyusupan = Jumlahhujan semasapen sampelan    x   Nilai penyusupan semasa persampelan
                                             Jumlahhuja nsemasarun tuhan



Hasil dan Perbincangan

Hubungan Penyusupan dengan Kecerunan Cerun. Cerun merupakan permukaan tanah yang terdedah yang membentuk sudut tertentu terhadap satah ufuk. Kebiasaannya kegagalan cerun dikaitkan dengan keadaan cerun yang curam tetapi ini adalah tidak benar kerana terdapat banyak kes kegagalan cerun yang berlaku pada cerun yang landai .

Keadaan ini menunjukkan bahawa kestabilan sesuatu cerun bergantung kepada banyak faktor selain dari sudut kecondongannya. Menurut, kesan hujan ke atas kandungan air tanah bergantung kepada faktor seperti ciri-ciri tanah, topografi, jumlah dan keamatan hujan, litupan tumbuhan dan keadaan kandungan air tanah pada masa hujan. Kecerunan permukaan akan mempengaruhi kadar penyusupan air. Semakin landai cerun, semakin tinggi kadar penyusupan. Kadar penyusupan berkurangan jika kecerunan lebih daripada 2% kerana larian permukaan berlaku. Kelajuan aliran yang bertambah akan menyebabkan hakisan. Kehadiran rumput akan mengurangkan masalah kelajuan aliran dan hentaman permukaan.. Di cerun, air yang berada dalam tanah akan hilang melalui evapotranspirasi dan saliran yang bergerak perlahan melalui substrata. Kestabilan cerun boleh diusahakan dengan litupan tumbuhan di atas permukaan cerun, tumbuhan akan membantu meningkatkan kandungan organisma pada tanah. Akar rumput yang reput pada tanah akan mengalami penguraian dan membantu dalam pengagregatan. Melalui proses ini, sistem struktur tanah akan diperbaiki dan meningkatkan kestabilannya. Penjerapan mineral akar rumput akan menggalakkan pemegangan nutrien pada tanah. Keadaan ini boleh mengelakkan kehilangan nutrien serta menggalakkan pertukaran kation pada tanah.


Kesimpulan
Secara keseluruhannya, disimpulkan bahawa keadaan cerun di kawasan Bukit Antarabangsa dianggap kurang stabil disebabkan keadaan struktur geologinya yang lemah, seperti kawasan bertopografi tinggi, kemiringan cerun yang besar dan kandungan ketakselanjaran yang tinggi. Jumlah air hujan yang tinggi menyusup masuk ke dalam tanah melemahkan struktur tanah dan menyebabkan proses luluhawa yang aktif yang menghasilkan tanah berpasir.

Peratus ruang rongga yang tinggi meningkatkan tahap keporosan tanah, meningkatkan lagi kadar penyusupan. Kestabilan agregat yang rendah disebabkan bahan organik yang rendah menyebabkan kurangnya tahap pegangan air dalam tanah. Manakala, kadar kandungan air dalam tanah juga mempengaruhi halaju hidraulik konduktivitinya. Keamatan hujan yang tinggi, menyebabkan meningkatnya kandungan air bawah tanah kesan daripada penyusupan yang pantas. Pengelasan keplastikan tanah berdasarkan had cecair, didapati bahawa kesemua sampel tanah mempunyai keplastikan tinggi dan sangat tinggi. Kadar penyusupan dan kekonduksian hidraulik yang tinggi di kawasan cerun yang selamat, menunjukkan adanya kecenderungan berlakunya runtuhan di masa hadapan, oleh yang demikian tindakan langkah keselamatan perlu dirancang dengan teliti.


Ulasan :
Setiap pemaju yang ingin mengmukakan kebenaran merancang perlulah menganalisis jenis tanah dan pembangunan  yang akan dibangunan dengan membuat rujukan Garis Panduan Pembangunan di Lereng Bukit yang diluluskan JPBD Semenanjung Malaysia. Pihak Berkuasa tempatan juga memainkan peranan yang penting dalam meluluskan projek yang telah dibuat oleh pihak pemaju. Pembangunan dilereng bukit sangatlah berisiko tinggi dimana ia melibatkan nyawa dan bukan keuntungan semata-mata.

1 comment:

  1. satu kertas kerja yang menarik. moga bermanfaat untuk masyarakat dunia

    ReplyDelete